| ANUGERAH HESCOM KE-IX KEDAH 2011: JOM P KEDAH TAMPI PUISI & MENAMPI DUA ACARA E-SASTERA Oleh PUZI HADI Majlis Anugerah Hadiah E-Sastera.Com (HesCom) kali ke-IX dimeriahkan oleh lapan puluh karyawan sastera siber seluruh tanah air yang berkarya dalam web e-sastera.com. Majlis kali ini membawa tema sekata dengan ikon Kedah Darul Aman iaitu “Jom P Kedah Tampi Puisi” berlangsung di Kelab Kedah DiRaja dan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah di Pumpong, Alor Setar pada 10 Disember yang lalu. Majlis HesCom Ke-IX yang pertama kali diadakan di Kedah selepas Kuala Lumpur (2003-2008), Kota Bharu, Kelantan (2009), dan Shah Alam, Selangor (2010). Penganjur majlis ialah Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) dengan kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKNK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU). Acara pertama sebelah petang, di Kelab Kedah DiRaja iaitu Bicara Tokoh E-SASTERA bersama Prof Dr Irwan Abu Bakar Wan Abas. Beliau ialah pendiri web sastera siber Malaysia sejak tahun 2002 melalui internet iaitu portal eSastera.com. Beliau juga sebagai Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) yang baru setahun jagung bergerak pada akhir tahun 2010. Beliau ketengahkan idea sastera di luar tradisi sedia ada melalui internet dalam dunia terkini. Karyawan boleh berkarya sepanjang siang-malam tanpa batasan waktu mengikuti bidang minat masing-masing pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel, pantun, kritikan, lagu puisi dan lain-lain. Ini diikuti majlis baca puisi dan lagu puisi oleh peserta yang hadir, antaranya dari Pulau Pinang (penyair Ibnu Din Assingkiri), Perak (penyair Rimanilzah), Putrajaya (Aziz Zabidi), Kuala Lumpur (Citanalis, Jebatsari, Kablam, Khalil Zaini, Puisi Watan, Mokhtar Sah Malek, Puisi Watan dan S.Iqram), Selangor (Rosnidar Ain dan Teratakerapung), Pahang (Teratai) dan Kelantan (Assyramy, Kalemas, N. Faizal dan Yajuk) sambil menikmati sekitaran padang golf yang menghijau. Penyair Kedah pula ialah Azmi Rahman, Dahna, Mokhtarahman, Nordarus, Puzi Hadi dan Zaidin Abadi. Acara kedua, kemuncak majlis HesCom pada malamnya di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKNK). Majlis dirasmikan oleh Encik Mazlan Ahmad, Timbalan Pengarah JKKNK. Ini diikuti pelancaran buku-buku dan album lagu puisi terbitan E-Sastera Enterprise dilancar oleh Hajah Khairiyah Ghazali mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU). Turut bersama Saudara Puzi Hadi, merangkap Pengarah HesCom Ke-IX Kedah 2011. Lapan buah buku hasil para penulis sastera siber Malaysia ialah kumpulan puisi sajak jenaka (sajen) Tukang Auta (oleh Sasterawan Alam Siber (SAS) Nimoiz T.Y dari Kelantan); kumpulan puisi Rumput dan Angin (Hasimah Harun dari Kuala Lumpur); kumpulan puisi soneta 44 Soneta (Mokhtarahman dari Kedah); kumpulan karya multigenre Bukit Siguntang Mahameru (diselenggara oleh Puzi Hadi) sempena Pertemuan Penyair Nusantara V di Palembang pada Julai 2011; kumpulan puisi Ekstasi Cinta (S.Iqram dari Sabah); novel kanak-kanak Sir Khatim (Ahkarim dari Kedah); kumpulan cerpen Doaku (Roslie Sidek dari Singapura); kumpulan puisi soneta bersama Pepohon Perteduhan Cinta (oleh Yajuk, Kriey, Citranalis, Mokhtarahman, dan Azmi Rahman); dan novel Illa Ina (Nordarus). Majalah eSastera Majalah dilancar berwajah baru mengganti Sastera.Net yang terbit sepuluh tahun lalu. Dua album lagu puisi berjudul Cinta dan Aku nyanyian oleh SAS Anbakri dari Kelantan, dan single Melegakan Hakikat oleh Grup Lagu Puisi Esastera. Keputusan anugerah HesCom IX Tahun 2011 seperti berikut: • Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) – Hadiah pertama penyair S.Iqram (dari Sabah) dengan puisi “Natal Suatu Ketika” membawa pulang RM2,011; kedua, penyair Azmi Rahman (Kedah) dengan puisi “Di Setesen Keretapi: Areva”; dan ketiga, penyair Dahna (Kedah) melalui puisi “Bebayang”. Penerima hadiah sagu hati ialah Puzi Hadi (Kedah), Brirasa (Kedah) dan N. Faizal (Kelantan). • Anugerah Dramatis Alam Siber (ADMAS) – Pemenang tunggal, penyair Kriey (kini menuntut di Jordan) dengan drama “Penawar Rindu”. • Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (AHMAS) – Penyair Yajuk (Kelantan) pemenang pertama dan, Citranalis (Kuala Lumpur) menerima sagu hati. • Anugerah Soneta Melayu Alam Siber (ASMAS) – Lima pemenang iaitu Azmi Rahman (Kedah), Citranalis (Kuala Lumpur), Yajuk (Kelantan), Tabir Alam (Perak) dan Mokhtarahman (Kedah). • Anugerah Blog eSasterawan – Aziz Zabidi (Putrajaya) bagi kategori Blog Terbaik dan, Jebatsari bagi kategori Pelawat Bertuah. • Anugerah Khas Kegiatan Dampak Tinggi – Julung kali diadakan untuk warga eSastera yang aktif kepada enam ahli individu/kumpulan. Penerimanya ialah penyair Puzi Hadi dari Kedah (Ulasan puisi bulanan sepanjang 2011), Grup Lagu Puisi Esastera dari Kuala Lumpur (Genre baru), Tadrinz dari Kuala Lumpur (Fotografi), Ahkarim dari Kedah (Kebaktian), Dahrie dari Selangor (Editor majalah Sastera.Net), dan Abdullahjones dari Pahang (Sumbangan produk lukisan). • Pemenang Keseluruhan menerima Piala Pusingan Nik Zafri – Azmi Rahman (Kedah). Di samping itu hadiah kepada para pemenang keputusan sayembara bagi komuniti - Penyair, Cerpenis, Sajen, Resensi, Biografi, Madah, Pantun, Teka-teki dan Sastera Tradisional.Kategori baru diperkenalkan iaitu Pemuisi Teraktif dianugerahkan kepada penyair Ibnu Din Assingkiri (dari Pulau Pinang). Persembahan malam anugerah disertai alunan gurindam dan syair oleh Wan Ismalinda dan Kumpulan Violin pelajar sekolah rendah bimbingan Cikgu Sawal mengiringi pelajar Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan Taman Uda, Alor Setar iaitu Nurul Syafiqah Bt Mahazi. Selain itu acara puisinya oleh deklamator Prof. Dr. Irwan Abu Bakar dan isterinya Hasimah Harun, Sasterawan Alam Siber (SAS) Kalamutiara, SAS Nimoiz T.Y, Dahrie, dan Teratai. Penonton teruja dengan dendangan lagu puisi oleh SAS Anbakri (dari Kelantan) dan Grup Lagu Puisi Esastera (Kuala Lumpur). Sekalung tahniah kepada narator Wak (Wan Akrab) dan Awang (Gie Makbul) dari kumpulan teater AKRAB dengan watak Mek Mulung menghidupkan majlis dari awal hingga akhir serta kugiran JKKNK. Alor Setar, Kedah 15 Disember 2011 ![]() P.S. e-sastera.com / Penyair puzi hadi 12/11/2011 6:03:32 AM 1.0 Alhamdulillah HesCom IX Kedah 2011 berjalan lancar di Kelab Kedah DiRaja (acara petang) & di Auditorium JKKNK (acara malam). 1.1 Berbanyak terima kasih kepada semua karyawan eSastera yang sempat dating dan yang berdoa dari jauh. 1.2 Tahniah kepada pemenang dalam pelbagai juadah hadiah. 1.3 Tahniah kepada semua pengkarya buku dan album lagu puisi yang dilancar dalam suasana santai dan kudus. 1.4 Terima kasih kepada JK Pelaksana HesCom Kedah – Azmi Rahman (Penolong Pengarah), Dahna (Setiausaha), Ahkarim (Bendahari), AJK: Anna Karenina, Brirasa, Mahmud Alias, Mansor A.Hamid, Mokhtarahman, Nur Ain Hanis, Siti Aksara, Ruzie dan Zaidinabadi. 1.5 Terima kasih kepada dr.irwan dan has1mah yang menyelaras segala kerja jadi mudah. 1.6 Terima kasih kepada dua figura yang menyokong HesCom begitu mudah dan meringankan minda saya, iaitu Encik Mazlan Ahmad, Timbalan Pengarah JKKNK dan Hjh Khairiyah Ghazali, Pegawai Perancang Bahasa di DBPWU serta kakitangan mereka. 1.7 Terima kasih tiada lain kepada khalayak yang sudi memenuhi dewan. 1.8 Terima kasih kepada Zaida Sharif, isteriku dan Muhammad Fairuz, anak bongsu yang padu sokongan mereka kepadaku. 1.9 Syukurku tiada lain kepada-Mu, Allah SWT. Ya Allah berilah ganjaran kejayaan kejayaan kepada e-sastera.com (online) dan Persatuan Aktivis Esastera Malaysia (E-SASTERA) di hari-hari mendatang. 1.10 Jumpa lagi dalam HesCom Ke-X Bali 2012. Insya-Allah. |