|
HesCom (2011) Finalis APAS - 11 Karya
|
|||
|
Bil |
Judul |
Markah |
Kedudukan |
|
1 |
Natal suatu ketika |
|
1 |
|
2 |
Salam kenal dari
Fukushima |
|
|
|
3 |
Di Stesen Kereta Api; AREVA |
|
2 |
|
4 |
Yang Terperangkap Di Dataran Tahrir |
|
|
|
5 |
Roman Lelaki Di Pantai Disember |
|
Sagu Hati |
|
6 |
Dan Kau Memang Bertuah |
|
|
|
7 |
Takkan Palestina Hilang Di Dunia |
|
Sagu Hati |
|
8 |
Jangan Lahirkan Aku |
|
|
|
9 |
Melihat Muka |
|
|
|
10 |
Bebayang |
|
3 |
|
11 |
Nota dari Desa Buat Pemimpin |
|
Sagu Hati |
|
ULASAN PENGADIL (Sila tambah lampiran jika tak muat si sini)
|
|||
|
Selain daripada menyampaikan emosi,
sajak memerlukan kesatuan makna. Sajak bukan semata-mata bahasa emosi
tetapi bahasa yang mengobjektifkan emosi. Di sini kesatuan makna itu
diperolehi. Sekabur manapun sajak, seemosi manapun sajak ia tetap perlu
mempunyai makna. Bukan sekadar hanya makna yang nipis tetapi makna yang
kuat oleh terbangunnya pemikiran dan kesedaran. Maka ini apa yang
dikatakan bahawa sajak itu perlu mengobjektifkan emosi.
Sajak ‘Natal Suatu Ketika’, dapat
memperlihatkan dengan jelas bagaimana emosi itu diobjektifkan.
Pengalaman seorang penganut agama lain yang kemudian bertukar untuk
menganut agama Islam disampaikan dengan jalur emotif yang mengesankan.
Pada masa yang sama juga memberikan pemaparan peristiwa yang sangat
objektif melalui pemerihalan yang jelas dan faktual tentang suasana
keagamaan, keinsafan, dan keruhanian yang jitu. Pemerihalan yang
objektif ini, luar biasanya ia tidak mengurang sedikit pun keindahan dan
daya emotif bahasanya malah memperindahkannya lagi.
Apa yang sangat baik tentang
sajak ini ialah estetika yang indah, mengalir jernih, dan penuh makna.
Terdapat juga perlambangan dan alusi yang kuat dalam sajak. Lebih
penting dan menarik, sajak ini disampaikan dengan harmoni tanpa
merendah-rendah pihak dan kepercayaan lain. Jelas sajak ini mempunyai
kesatuan makna yang sangat kuat di samping kreativiti dan sensitiviti
yang tinggi.
Dalam sajak ‘Di Stesen Keretapi;
Areva’, terlihat munculnya sajak prosaik yang bermain jalur penceritaan
atau pengisahan. Peristiwa seorang gadis yang menjual maruah diri kerana
kemiskinan dan sudut pandangan seorang aku di dunia asing mengingatkan
kita tentang sajak-sajak Pushkin, Usman Awang, Rendra dan A. Samad Said.
Pembinaan imej dalam sajak dengan diperkuatkan oleh sejenis jalur cerita
adalah suatu bentuk ciri persajakan moden yang menarik. Sajak ini
mempunyai bahasa yang baik, yang diseimbangkan dengan penuh teliti
dengan pengkisahan Areva. Sajak ini juga mengobjektifkan emosi dan tidak
membiarkan emosi terbelit dalam kata-kata tanpa makna. Hakikatnya ini
adalah antara faktor sajak ini dapat berdiri sebagai sebuah sajak yang
kuat. Areva diwujudkan sebagai imej, dan aku wujud sebagai objektif
kesedaran. Ternyata sajak ini berjaya memberikan kesan emosi dan
pemikiran yang kuat kepada pembaca.
‘Bebayang’
juga adalah sajak prosaik yang terlibat dalam permainan kata yang rumit.
Lebih rumit lagi apabila fasa prosaik tersebut bertukar kepada fasa
rangkap dalam bait-bait akhir. Namun pada fasa rangkap inilah
terletaknya objektiviti maknanya. ‘Bebayang’ adalah sajak keinsafan
sebenarnya, tentang bayang (mungkin tubuh) yang mengekori manusia
sehingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung imej ‘bebayang’ ini
diwujudkan untuk membawa objektif makna tentang manusia yang harus
menginsafi perjalanan (hidup) mereka di dunia tetap akan berkesudahan
dan alam kubur akan menanti untuk menghisab segala amalan baik dan
buruk. Sajak ini menghadirkan estetika yang baik bersama kesatuan makna
yang kuat.
Bermain dengan patah kata-kata
mudah, sajak ‘Nota dari Desa Buat Pemimpin’ memberikan sinikaliti yang
kuat. Sajak ini mengutarakan tentang suasana hidup seharian masyarakat
menuntut pemimpin politik memberi perhatian kepada rakyat dan bukan
hanyut dalam wawasan serta retorik yang palsu. Rakyat perlukan pembelaan
dan kejujuran pemimpin. Sajak ini
memberikan makna yang cukup objektif untuk difahami dan
dimengertikan. Dalam aspek bahasa, sajak ini menampilkan bahasa yang
kemas dan komunikatif tanpa menghilangkan keindahan puitisnya. Dari segi
kesatuan makna, sajak ini telah menyampaikan pesan dan tuntutan yang
jelas kepada pembaca terhadap apa yang ingin disampaikannya.
Sajak ‘Takkan Palestinaku Hilang’
menuntut pengertian terhadap isu dunia iaitu isu Palestin. Sajak ini
banyak didorong oleh nada kemarahan. Sedikit sebanyak ia mengganggu
pengucapan emotif yang indah. Namun begitu isu yang disampaikan dengan
pemerihalan berunsur sejarah politik ini sebenarnya mempunyai bentuk
penyampaian avant garde. Bahasa dan pemikirannya jelas. Begitu juga
dengan pesan dan tuntutan yang diluahkan oleh sajak ini dalam mencungkil
emosi pembaca. Penggunaan bentuk prosaik menjadikan sajak ini dapat
berdiri sebagai sebuah sajak avant garde yang menarik. Sedikit kelemahan
sajak ini ialah nada kemarahan yang digunakan tanpa kawalan perasaan
membuatkan kesatuan yang mencakupi makna dan keindahan itu sedikit
terganggu. Bagaimanapun sajak ini diakui mempunyai pemikiran dan bahan
yang tinggi dalam memberikan satu lontaran keras kepada pembaca.
PENILAI
S.M. Zakir
(Syed Mohd Zakir Syed Othman)
|
|||
1. NATAL SUATU KETIKA
(Kenangan yang dilupai)
Malam menjelang natal
denting loceng di menara gereja St. Anthony
mengimbau girang suatu ketika
dari limpah cahaya lilin di altar
ada khutbah sang paderi dari lembar alkitab
memetik sabda: dan yang tidak pernah dilupakan
nyanyian puji-pujian para jemaat
“puji Tuhan hallelluyah, puji tuhan hallelluyah…”
meruntun dalam getar rohani
dan kami melutut di depan salib yang tertera
“Eli, Eli, lamasabtakni (Tuhan,Tuhan,Tuhan. Mengapa engkau
meninggalkan daku)”.
kami pernah bahagia dalam undangan perjamuan kudus
untuk menerima tubuh dan darah al-Masih
menerima cintakasihnya
mengimani misteri penyelamatan
pembebasan dari jalan dosa
kepercayaan pada hari kebangkitan.
Dan di gereja St. Anthony tempat pembaptisanku
di mana dahiku pernah tergores tanda salib menerima roh kudus
ada kenangan indah zaman kanak-kanakku
mendakap kenangan natal yang jauh kutinggal.
Sedekad yang lalu, di masjid ar-Rahman
kuikrarkan iman syahadah
tegak jari telunjuk isyaratkan kesaksian
dalam gementar lafaz
“aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah
dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh-Nya”
yang kutemukan kebenarannya
dari jalan pencarian yang panjang dan penuh tanda tanya.
Aku menekur di hadirat mihrab makrifat cinta
memadam nyala lilin di altar
dalam lingkar firman qulhu-Allahuahad
mencerna tauhid dan meneguk iman hakiki
dari kesempurnaan zat yang menganugerahkan hidayah.
Dan menjelang natal ini
tiada lagi rindu pada kenangan yang diingati
kerana jauh di sana, dari menara masjid
sayup gema azan menyelinapkan panggilan agung ke dasar nubari
menyatu di dalam saf-saf khairummatti.
===========================================
|
2. SALAM KENAL DARI FUKUSHIMA
Salam kenal pasca tsunami
Salam dari Fukushima
Salam untuk semua
======================================= |
3. DI STESEN KERETA API; AREVA
Di stesen kereta api, terkepung alam berkabut. Hujan tajam mencucuk tanah. Alam
dibingitkan suara hujan mencakar-cakar tanah. Suara perempuan dari pembesar
suara samar-samar berebut-rebut dalam bingit suara hujan. Aku hanya meneka makna
bahasa. Kadangkala aku hilang makna destinasi. Aku masih diam di bangku kayu
yang lusuh membancuh rindu di cangkir kasima. Seteguk kasmaran mendamaikan
resah.
Areva, engkau di sisiku menunggu
kereta api dari selatan ke utara. Areva, gadis manis bermata biru palsu. Kulit
gebu sinar bulan. Berambut panjang perang ala gadis Inggeris. Katamu dari kota
Bangkok yang rusuh dan lusuh maruah dan harga diri. Kemanisan hidup remajamu
telah menjadi tawar diserahkan dalam sangkar putaran kemiskinan. Di Hatyai, kau
menawarkan kemanisan hidup muda yang jelita. Kau lahir dari rahim seorang hawa;
membesar untuk memberi cinta tanpa warna kepada sang lelaki mabuk.
Sesekali Areva menghempuskan asap
rokok ke udara berkabut. Aku dicengkam dingin. Penantian ini tanpa arah
destinasi. Hujan keras masih mencakar-cakar tanah. Berapakah sang lelaki yang
telah kau cairkan ghairahnya? Cinta dan nafsu menjadi sampah. Kau tidak pernah
menghitung cinta sang lelaki hipokrit. Katamu, “Bodohnya sang lelaki buas sedang
aku sedikitpun tidak mencalit nafsu.”
Kata Areva,”Kalau aku bersamamu, cinta
aku percuma. Aku menghadiahkan kau cinta aku yang tersisa. Apabila pulang ke
akar sedar yang waras, kau akan mencari aku lagi. Aku akan berada di stesen yang
lain.”
Areva, kereta api ke Bangkok belum
tiba. Ada cinta palsumu di Hatyai tertinggal di kamar-kamar syurga sang lelaki
yang menjinakkan nafsu buas.
Areva, nafsu siapa pula menjalar
menjadi ular merayap-rayap ke wangi tubuhmu di kamar cinta?
Areva, kekasih yang tidak mengerti makna cinta dan kepuasan.
Cintamu terkoyak di sebalik nilai baht
dan dolar Amerika!
========================
4. YANG TERPERANGKAP DI DATARAN TAHRIR
Bangunlah cinta
ada amanah berserakan
ditindih serakah kuasa
yang rebah adalah
kesabaran
yang tumbang adalah
keadilan
yang terkepung adalah
kebenaran
yang terperangkap adalah
kau
bangunlah cinta
bakar kerak kebencian
yang berkarat biar lebur
menjadi besi
moga kembali menjadi kapak
parang dan gergaji.
Mundar mandir cinta
malu melafaz rindu
pada bulan tanpa cahaya
enggan menggantung harap
pada siang tanpa mentari
lalu yang terbakar adalah
kasih Zulaikha
yang terpanggang adalah
iman Asiah
yang terbelah adalah hati
Siti Hawa
darah Habil tumpah dirobek
nafsu Qabil
bersorak sorailah iblis
terpesong anak Adam dari
pintu Syurga.
Terhuyung hayang cinta
menghimpun sumpah
menjadi sejuta kebencian
campur dendam
menjelmalah sejuta
kebangkitan
dari kelodak rasa kecewa
awas cinta
yang runcing adalah
sembilu
jangan buluh berkecai
buku.
Apakah akan terbelah Laut
Merah?
bersimbah darah
membuka laluan cinta
dan terkubur Firaun
di dasar hitam hatinya.
======================================
5. ROMAN LELAKI DI PANTAI DISEMBER
i.
Santun dan gertak waktu
melentur pantai hidup
lalu dijemputnya logika alam
memperjodohkan laut kata-kata
dan pelabuhan diri
dihujani gerimis hakikat.
Berdiri di pantai hidup
pasir sejarah di telapak senja
pulau usia berbalam
dilitupi kabus pengalaman.
Perahu persinggahan di dermaga
sisinya retak cengkerang nasib
buih-buih kecelaruan pecah di tebing harap
pada laut yang dikongsikan
dan ombak penyatuan
dia berikrar
pelayaran ini
harus dicabar lagi
tak mahu di ratapi
retak nasib masa sudah.
ii.
Johanna
aku mahu menjadi ikan
yang menulis sejarah nelayan.
=================================
6. DAN KAU MEMANG BERTUAH
Dewasa aku dipimpin namamu
mengerti aku dididik kewiraan lalu
dan
namamu ditatang berzaman
sungguh bertuah kau, Tuah!
Lewat
sejarahmu dikatup penjajah
ranah
bertuah ini tidak pernah lengah
jejakmu yang membekaskan tetes rahsia
mencambahkan benih tuahmu, Tuah!
Sehingga malam ini namamu terus dijulang
kisahmu masih ditemani jebat
pahlawan yang menghambat gagahmu
namun
dialah yang menuahkanmu, Tuah!
Lalu
aku menggali babad makhfi
menyoroti perkelanaanmu dari lahir
tak
bisa kutemui yang satu itu
bertuahnya kau kerana tidak mati, Tuah!
Pantas aku menulis tentangmu
seperti panitera lain sejak dulu
yang
menghidupkan dan mematikanmu
dalam
cereka ketuahan mereka, Tuah!
Sekian banyak versi riwayatmu
menyeliratkan minda sarjana dunia
demi
fitnah tesis cendekia
medan
melantunkan gugusan soal;
kewujudanmu
keperkasaanmu
kecerdikanmu
kecinaanmu
keperempuananmu
kehomoseksualanmu
Tetapi aku yang bukan bijaksana
masih
mengakui kejantananmu
dan
kau memang bertuah, Tuah!
===========================
7. TAKKAN PALESTINA HILANG DI DUNIA
2011
^^^ Saudaraku Hamas beralamat di Genting Gaza dan Saudaraku Fatah beralamat di
Tebing Barat ^^^ Salam ukhuwah daripada kami di Malaysia ^^^ apa khabar saudara
berdua: suka atau duka ^^^ sukanya sesuka mana dan andai ada dukanya seduka mana
^^^ Anda berdua diselimuti debar ketakutan dari detik ke saat ke minit ke jam ke
hari ke minggu ke bulan ke tahun ke dekad demi dekad ^^^ bersilih siang dan
malam bersilih hujan dan panas bersilih pemimpin pergi dan datang ^^^ peperangan
terus berperang tanpa mengerti titik noktah ^^^ dek kegilaan Israel dek
kemunafikan Amerika Syarikat dek sialan PBB ^^^ lalu senarai panjang kematian
seorang demi seorang syuhadah memenuhi kubur berbatu nisan ^^^ artifak kematian
di tanah pembunuhan dicarigali cucu-cicit mendatang mencari akar zuriat yang
hilang ^^^
Israel hantu nombor satu dunia Arab ^^^ rekan nombor satu Amerika Syarikat ^^^
Palestina tertipu panjang sama ada puak Demokrat puak Republikan yang sehati
sejiwa dengan pelobi Yahudi mencengkam penghuni Rumah Putih ^^^ lalu para
diktator Arab pepatung wayang kulit mainan tuk dalang perisik
See I America (CIA) dan
Facebook I (FBI) ^^^ mematikan suara rakyat prodemokrasi ^^^ Ya anda telah
lihat kehadiran Januari & Februari 2011 jatuhnya Tunisia dan Mesir; kini satu
persatu para diktator yang lupa daratan diledak gempa yang lupa lautan dibadai
tsunami ^^^ Libya berdarah Yaman berdarah Syria berdarah Bahrain berdarah dll
bakal ikut berdarah memerah simpang siur kota dek tembakan peluru
made-in-USA ^^^ lalu berkonon Amerika
dan berkonon Nato dan berkonon PBB: undur-undur para diktator lupa daratan dan
lupa lautan ^^^ tentera anda jangan memerangi kuasa rakyat yang khayali
demokrasi jangan membunuhi demonstran yang khayali hak asasi
^^^ Tiba-tiba Saudaraku Hamas dan Saudaraku Fatah boleh bersemeja bersemuka di
Kaherah ^^^ kesekian menuding jari melontar kata memuntah peluru satu sama lain
melagak kejantanan ^^^ hakikatnya sekadar membaling batu ke muka tentera Israel
dan curi-curi ayam menembak peluru berpandu ke tanah Israel ^^^ hakikatnya tanpa
daya kereta kebal tanpa daya jet pengebom ^^^ inilah ruang bermuhasabah diri
mencongak buah catur Amerikana dan Barat dan Israel dan PBB ^^^ mereka pun
menangis dalam ketawa dan mabuk anggur atas kematian atas kesengsaraan atas
kepicikan atas kemacetan setiap nyawa bernama Palestina yang kecundang ^^^
Benjamin Netanyahu si biadap Israel bermain diplomasi berlampu isyarat merah ^^^
kemesraan dua musuh Hamas-Fatah, “Anda Fatah mahu bersahabat dengan Israel atau
bersahabat dengan pengganas Hamas” ^^^ Hamas-Fatah suara keramat Palestina
menghantui tidur dan jaga Israel ^^^ bebayang Ismael Hanniyeh (baca: Sheikh
Ahmad Yassin) dan Mahmoud Abbas (baca: Yasser Arafat) mengacu senapang dan bom
tangan ke dahi Benjamin Netanyahu (baca: Israel) ^^^ awas Israel pastinya
berdendam tanpa secubit kasihan melebur setiap inci bumi Gaza dan Tebing Barat
kala anda leka ^^^ Allahuakbar ^^^ “Takkan Palestina Hilang Di Dunia” ^^^ BBBBB
OOOOO MMMMM !!!!! ^^^
==================================
8. JANGAN LAHIRKAN AKU
Jangan Engkau keluarkan
aku, Tuhan!
aku sudah selesa dalam
perut ibu
tiap kali aku mendengar
dan merasakan
bahawa dunia-Mu demikian
mempesona
dengan gadis-gadis cantik,
malam-malam yang mengasyik
bayu laut-Mu, gunung,
pantai yang membelai
semuanya mengghairahkan,
bersantai
hingga manusia tenggelam
dan lalai.
Aku sangsi Tuhanku!
saatnya aku ditolak keluar
ada insan bakal
menghumbankan aku
melalui balkoni dan
tingkap
supaya kepalaku terus
berkecai
dan kepingan-kepingan
tengkorakku
mampu menimbus
kekusutannya,
Ada insan bakal
mencampakkan aku
di tepi-tepi longkang
hanyir
membuang ke dalam tong, ke
dalam sungai
bersama sampah dan
bangkai,
kelak aku digonggong
anjing-anjing liar
ke tanah jirat yang
terbiar
sekali gus menyembunyi
tangan-tangan jahat.
Kemanusiaan sudah lupus
dilitupi daki kedurjaan
aku tetap bimbang Tuahnku!
kelak aku disumbat dalam
lubang
yang penuh kotoran dan
najis
maka punahlah suatu
ciptaan
oleh-Mu, Maha Agung, Ya
Tuhan
dalam bentuk paling hina
dan tragis.
Tuhanku!
sekalipun aku dikeluarkan
ke dunia
apalah dosaku?
=====================================
9. MELIHAT MUKA
Sudah dua jam aku
bersyarah
para hadirin sudah mula
gelisah
yang bersila sudah
bersimpuh
yang tegang urat mula
mengeluh.
Isi ceramah melebihi waktu
semua peserta mula melihat
mukaku
tapi aku masih tidak
menyedari
raut mukanya suruh aku
berhenti.
Aku masih sedap berbicara
kali ini mereka melihat
muka jam
aku langsung tidak ambil
peka
mereka menyengguk, mata
terpejam.
Memang menjadi kelazimanku
penutup ceramah sukar
dihabis
kini penuntun melihat muka
pintu
seorang demi seorang
tinggalkan majlis.
=================================
10. BEBAYANG
Engkau tumbuh
di hujung kaki, setelah para ibu usai berperang di medan kelahiran.
Sebuah rumah
legam, di luar diri aku, di situ engkau berdiri, tidur, bangun dan mengikat
engkau kepada aku tanpa sebuah perjanjian pada kejadianmu.
Tanpa gugus nafas, tanpa jurai urat,
tanpa sungai darah, tanpa jelas rupa,
tanpa bisik suara, tanpa lengkung kuku,
tanpa sehiris isi, tanpa seketul tulang-belulang, tanpa seinci ragu, tanpa
munafik, engkau hidup kepelikan di sekalian penjuru susukku, meraih dosa dan
pahala dari hidupku, menikmati bahagia dan sakit
di kerajaanku.
Kelak satu tika
nyawaku
tertanggal dari umurku
engkau masih
mengikuti
hingga ke harum
tanah perkuburan
di situ engkau
benar-benar mati
tanpa tubian
soalan
biarpun di
dalam rumah yang sama
kita diami.
================================
11. NOTA DARI DESA BUAT PEMIMPIN
Tahun demi tahun kalian sangkutkan
harapan pada bahu kami yang menggalas
harapan kalian dengan anak-anak ke
sekolah
ayah ke sawah dan ibu ke pasar
kalian harus tahu di mana letaknya
harapan kami ada dalam setiap langkah
dan mata pandang kalian yang bersinar.
Tuan, yang berhormat
tak pernah tercicir hormat buat kalian
dalam setiap cangkul si ayah pada
tanah
juga dalam setiap jual-beli ibu di
pasar
atau dalam riang anak-anak ke sekolah
dan harapan tak tertinggal dalam
saku-saku
yang sering bocor sekali pun, tetap
ada.
Kalian tinggi dalam bijaksana
lihatlah wawasan kami dengan debar
yang tenang
ada kami tuliskan kesempurnaan hajat
bersama nota yang tak sempat
disampaikan
hilang dalam deru bas laju di kota
dan lenyap bersama asap-asap kilang
kalian pasti tahu dan faham.
Kami tidak minta rumah mewah, kereta
besar
kami tidak mahu janji tuntas
tergantung tinggi
cukup sekadar menjenguk harapan yang
tertinggal
di celah keringat menitis perlahan dan
hilang
dan kalian lebih tahu
erti perjuangan untuk hidup beralas
ringgit
bukan sekadar nota yang tak sempat
dibaca ini.
============================