HESCOM 2011 – PEMENANG ANUGERAH

Nama Anugerah

Anugerah Kegiatan Dampak Tinggi (KDT)

KETERANGAN:

Khas untuk HesCom 2011 ini, Pengurusan eSastera.com telah mengambil keputusan untuk menawarkan anugerah KDT atau High Impact Activity kepada individu atau kumpulan individu yang telah melakukan kegiatan tertentu, yang membawa kesan yang meluas atau mendalam kepada eSastera.com.

Penerima-penerima anugerah itu adalah seperti yang berikut:

 

NAMA ANUGERAH

HADIAH

PEMENANG

KEGIATAN

A21: ANUGERAH KHAS KEGIATAN:  Sumbangan Produk

RM100

Abdullahjones

Penerima pertama ialah seorang ahli senior eSastera yang eSastera tidak harus lupa kepadanya yang sudah bertahun-tahun tanpa henti, menyumbangkan produk dari studionya untuk menjayakan majlis HesCom walaupun beliau sendiri tidak berkesempatan untuk hadir di majlis ini.  Sumbangannya itu mampu menggalakkan kegiatan penulisan di kalangan ahli.  Penerimanya ialah sdr Abdullahjones.

A20: ANUGERAH KHAS KEGIATAN: Penerbitan

RM100

Dahrie

Penerima anugerah KDT seterusnya secara sendirian telah mengilhamkan dan mengusahakan penerbitan majalah sastera cetakan konvensional Sastera.net yang memfokus kepada sastera siber.  Penyebaran Sastera.Net telah berjaya mempromosikan kegiatan sastera siber kepada mereka yang masih belum akrab dengannya atau ragu-ragu terhadapnya.  Penerimanya ialah sdr Dahrie.

A19: ANUGERAH KHAS KEGIATAN: Kebaktian

RM100

Ahkarim

Penerima yang berikutnya telah menonjol sebagai individu yang sentiasa bersama eSastera dalam keadaan hujan dan panas sejak sekian lama.  Beliau banyak memberikan baktinya secara senyap di belakang tabir.  Namun apa yang beliau sumbangkan banyak membawa manfaat kepada ahli-ahli eSastera walaupun mereka sendiri mungkin tidak menyedari akan hal itu.  Beliau ialah sdr Ahkarim.

 

A18: ANUGERAH KHAS KEGIATAN: Lagu puisi

RM180 (RM30x 6 orang)

Grup Lagu Puisi (GLP) eSastera

Dalam masa kira-kira 10 bulan menerokai genre yang agak baru bagi eSastera ini, mereka telah berjaya mengadakan persembahan di banyak tempat dan telah menciptakan beberapa lagu puisi serta berjaya mengeluarkan album di bawah jenama eSastera.  Kegiatan mereka kerap kali berjaya menegaskan kehadiran eSastera kepada khalayak di merata tempat, termasuk di Indonesia. Kegiatan yang memerlukan kebolehan pakar yang spesifik, latihan yang bersungguh-sungguh, dan komitmen yang tinggi ini sewajarnya diberikan penghargaan.  Penerimanya ialah Grup Lagu Puisi eSastera.

A17: ANUGERAH KHAS KEGIATAN: Merakam kegiatan persatuan

RM150

Tadrinz

Penerima yang seterusnya telah menghadirkan dirinya di kebanyakan aktiviti eSastera dan merakamkan apa yang berlaku secara tekal, sama ada rakaman fotograf mahupun rakaman video. Misalnya, semasa aktiviti eSastera Kembara Palembang dalam bulan Julai lalu, sdr Tadrinz telah merakamkan lebih daripada 2,000 fotograf dalam tempoh 6 hari lawatan dan menyiarkan foto-foto itu di Facebook untuk kegunaan ahli-ahli.  Beliau ialah sdr Tadrinz.

A16: ANUGERAH KHAS KEGIATAN: Mengulas Puisi

RM250

Puzi Hadi

Penerima anugerah ini yang seterusnya telah memberikan ulasan dan membuat analisis secara bulanan terhadap beratus-ratus sajak yang tersiar di komuniti Penyair sepanjang tahun 2011 tanpa henti.  Kegiatan ini mampu membangkitkan semangat kepada penulis untuk berkarya kerana mendapat ulasan pakar. Beliau yang dimaksudkan ialah sdr Puzi Hadi.