Perjuangan hak cipta pengarangOleh Nazmi Yaakub
|
|
|
Penulis perlu tahu
kepentingan dalam usaha melindungi diri daripada
disalahguna dan menjadi mangsa kepada penerbit
SEANDAINYA kesedaran pengarang dan penulis
terhadap hak cipta diukur melalui kehadiran
peserta di Forum Hak Cipta di Rumah Gabungan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena),
Kuala Lumpur, baru-baru ini, tentulah kadar
kesedaran itu berada pada tahap mengecewakan.
Ini kerana peserta forum anjuran Persatuan
Penulis Selangor (PPS) itu boleh dibilang dengan
jari, meskipun isu hak cipta sering menjadi
keluhan di kalangan penulis sehingga persatuan
berkenaan pernah mengusulkan penubuhan Badan
Pelindung Harta Intelek Penulis.
Malahan, panel forum terbabit
turut dibarisi nama besar bukan saja dalam dunia
sastera, bahkan berwibawa untuk memperkatakan
isu hak cipta kerana mewakili dunia penerbitan,
guaman dan siber.
Kegagalan pengarang dan penulis hadir pada forum
itu seolah-olah mengesahkan hujah pihak yang
menolak kepentingan mewujudkan Badan Pelindung
Harta Intelek Penulis dengan alasan tidak ada
desakan untuk membentuk unit khas yang
bertanggungjawab memantau royalti karya sastera
yang mendapat tempat dalam media cetak dan
elektronik.
Meskipun forum itu fakir khalayak, banyak
persoalan membabitkan isu dan kes pelanggaran
hak cipta serta hak moral dijawab panel, sekali
gus mengutarakan cara terbaik untuk
mempertingkatkan kesedaran termasuk dalam aspek
perundangan.
Pengamal undang-undang, Nisah
Haron, berkata tindakan pengarang dan pengkarya
membawa kes membabitkan pelanggaran hak cipta
dan hak moral ke mahkamah membantu dalam
memperkembangkan undang-undang hak cipta di
negara ini.
“Ini kerana undang-undang hak cipta di negara
ini tidak berkembang dengan baik bukan saja
kerana tahap kesedaran yang rendah, bahkan
pengarang dan pengkarya tidak membuat sebarang
bentuk tindakan apabila karya diciplak atau
persoalan hak cipta ditimbulkan.
“Kita akui apabila kes dibawa ke mahkamah, ia
mengambil masa panjang sehingga ada yang
beranggapan tindakan itu menyusahkan diri kerana
masa terbazir apabila memakan masa setahun dua,”
katanya.
Nisah yakin, sekiranya pengarang dan pengkarya
tidak membawa kes membabitkan kepentingan mereka
itu ke mahkamah, undang-undang berkaitan hak
cipta di negara ini tidak akan berkembang
sehingga persoalan undang-undang yang berlegar
dalam kawasan kelabu tidak terjawab.
“Ini kerana mahkamah tidak
boleh mengeluarkan keputusan mengenai persoalan
itu, manakala Akta Hak Cipta pula tidak dapat
dipinda sekiranya tiada persoalan undang-undang
yang timbul hingga memerlukan tindakan terbabit
diambil.
“Setakat ini, Akta Hak Cipta ‘aman-damai’ di
mahkamah sehingga susah bagi pelajar dan
pengamal undang-undang mencari kes yang pernah
dibicarakan di mahkamah untuk dijadikan sebagai
bahan kajian mahupun perbandingan,” katanya.
Nisah turut meminta persatuan penulis termasuk
Gapena untuk membantu pengarang dalam bantuan
guaman kerana tindakan membawa sebarang kes
pelanggaran hak cipta dan hak moral ke mahkamah
memerlukan dana.
Pengarang dinasihatkan mengambil sikap
berhati-hati sebelum menandatangani sebarang
perjanjian dan kontrak dengan mengambil masa
untuk membaca serta memahaminya, selain merujuk
kepada pihak yang lebih arif untuk mengelakkan
daripada terikat untuk tempoh lama.
Mengenai tindakan pengarang menghantar karya
yang sudah tersiar di internet ke media cetak,
Nisah mengakui ia tidak membabitkan persoalan
undang-undang kerana masih berada di kawasan
kelabu, tetapi tetap membabitkan isu etika.
“Saya mengambil pendirian untuk tidak menghantar
karya yang sudah tersiar di media internet.
Sebagai contoh, saya sudah tentu tidak akan
membaca cerpen Sasterawan Negara (SN) yang saya
minati di majalah, sekiranya ia terlebih dulu
tersiar di blog,” katanya.
Dalam konteks penyuntingan manuskrip, Pemangku
Ketua 1 PPS, Datuk Dr Anwar Ridhwan, melihat
kepentingan pengarang menyedari hak editor
menyunting karya yang dihantar kepada mereka
untuk tujuan penyiaran.
“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada
segelintir penyunting cenderung melakukan
suntingan berdasarkan cita rasanya sehingga
tidak mengekalkan semangat karya dan gaya
penulisan pengarang terbabit.
“Pada umumnya, editor berperanan untuk
menyunting manuskrip atas persetujuan pengarang
terbabit, manakala penyuntingan itu tidak
dianggap sebagai tuntutan hak cipta, sebaliknya
berfungsi untuk mencantikkan karya sebelum
diterbitkan sebagai buku,” katanya.
Dr Anwar berkongsi pengalaman menyunting novel
SN, (Dr) Muhammad Abdul Biang atau lebih
dikenali sebagai Arenawati sehingga membuang
kira-kira 200 halaman daripada 800 halaman
manuskripnya untuk menjadikannya lebih padat,
tetapi mengekalkan semangat dan gaya SN itu.
“Bagaimanapun, Arenawati bersetuju dan faham
sehingga beliau menyerahkan manuskrip novel
seterusnya kepada saya untuk proses suntingan.
Editor kepada sasterawan besar Inggeris, Earnest
Hemingway juga pernah membuang satu watak dalam
manuskripnya untuk menjadikan komposisi karya
itu lebih seimbang,” katanya.
Mengenai kesedaran hak cipta di kalangan penulis
tempatan, beliau menasihatkan mereka tidak
sekadar berpuas hati apabila karya mendapat
tempat di akhbar dan majalah, sebaliknya
memikirkan honorarium kerana karya dihasilkan
berdasarkan kreativiti, daya cipta dan masa.
“Penerbitan bukan hanya membabitkan satu pihak,
terutama sekiranya pihak itu beroperasi secara
perniagaan kerana ruangan cerpen dan puisi sudah
menjadi ruangan tetap dalam akhbar serta
majalah.
“Kita akui penerbitan besar selalunya memberikan
honorarium dan royalti, tetapi urusan dengan
penerbit kecil kadang-kala memerlukan penulis
membuat salinan pendua karya tersiar atau
menuntutnya terlebih dulu,” katanya.
Dr Anwar turut mengulangi tuntutannya terhadap
persatuan penulis untuk mengambil tindakan
secara kolektif dengan melindungi hak dan
kepentingan penulis melalui penubuhan badan khas
dengan mengambil MACP sebagai model.
Pengasas laman web e-Sastera, Prof Dr Ir Wan Abu
Bakar Wan Abas, pula mendedahkan plagiarisme
bentuk baru yang menyaksikan karya penulis
terutama penulis di e-Sastera diambil dan
diterbitkan semula dengan mengekalkan nama
pengarang asal, tetapi di luar pengetahuan serta
keizinan mereka.
“Ramai daripada kalangan penulis di e-Sastera
yang mengadu kepada saya apabila karya mereka
tersiar di media cetak kerana menyangka saya
menghantarnya bagi pihak mereka, sedangkan saya
tidak berbuat demikian.
“Saya fikir majalah itu sendiri yang mengambil
dan menerbitkan karya kelompok ini tanpa
membayar royalti seperti sepatutnya, sekali gus
menjadikannya sebagai fenomena baru dalam dunia
sastera tanah air,” katanya.